klik!

Friday, November 3, 2017

Pengalaman Bersalin di Rumah

Planned Undisturbed Birth

Bismillah. Alhamdulillah, baru je habis tempoh berpantang. Alhamdulillah selamat melahirkan seorang mujahid sulung dirumah secara dirancang dan hanya ditemani suami 40 hari lepas tanpa pernah join kelas beranak, saya buat self-study tentang beranak dan tak pernah disuruh untuk homebirth. Semua ini atas pilihan sendiri. Terima kasih buat Hayati Muzaffar kerana selalu share tips-tips gentle birth, pengalaman bersalin. Mungkin akak doula tak kenal saya, saya silent reader wall akak. Terima kasih juga buat akak-akak pro choice, positive family yang selalu kongsi pelbagai ilmu berguna, pemakanan, breastfeeding, gaya hidup, nak tag sorang-sorang ramai sangat. Ilmu yang kalian curahkan sangat berguna untuk diri ini.

Alhamdulillah saya melahirkan bayi sulung saya dengan koyakan second degree tear 3 lapis jahitan kata nurse. Kata nurse sama je macam gunting, jika bersalin di hospital, saya akan digunting sebab anak pertama. Pada mulanya saya rasa down, rasa sedih sampai terlupa natural tear jauh lebih baik dari episiotomy, akan lebih cepat sembuh, kurang risiko jangkitan, kurang risiko koyakan besar dan boleh jadi koyakan saya tidaklah sebesar guntingan sebab yang mengelaskan degree koyakan tu adalah tempat koyakan. Nak tanya lebih-lebih nurse, awal-awal dah jatuhkan semangat, layanan pun kasar. Apa pun semulajadi lebih baik dari ciptaan. Terlupa saya telah lalui proses kelahiran yang sangat seronok, kelahiran semulajadi secara fitrah, kelahiran dengan oxytocin bukan dengan Pitocin, ditemani dan diurut suami sepanjang melayan contraction, bila lapar haus dapat makan minum, dapat posisi yang saya nak, tak ada tukang ugut semasa meneran, tak ada mesin ctg yang merimaskan diperut, tak ada orang suruh kepit bila rasa nak meneran, tak ada vaginal examination, tak pecahkan ketuban, dapat DCC dengan tenang. Tak apalah koyak sikit, saya meneran pun sebab ikut kata hati. Haha. Tiada siapa paksa, tenang je. Terlupa tips relax jaw, open mouth semasa meneran. Pada mulanya ingat nak gentle birth di hospital swasta, suami pun cakap nanti nak kumpul duit untuk beranak swasta. Bila fikir-fikir balik, untuk apa saya bayar mahal-mahal tapi belum tentu dapat apa yang saya nak. Kami bukan orang berduit sangat.  Kebanyakan hospital swasta di Malaysia tak terima posisi mesra graviti. Jadi saya ambil keputusan untuk beranak dirumah, suami sambut. Suami pun support, masing-masing educate diri pasal gentle birth. Setiap hari saya cari ilmu, saya share dengan suami. Kami sama-sama bercerita tentang gentle birth.

Lepas ni kena join kelas, nak lebih ilmu untuk anak seterusnya pula. Target intact perineum dan waterbirth pula, insyaAllah. Sebelum ni tak join kelas sebab tak mampu, tapi sebab nak juga gentle birth saya cari ilmu. Setiap hari buka wall akak-akak doula. Cari website-website orang putih yang cerita pasal gentle birth, exercise, tips, risiko dan baca pengalaman orang bersalin gentle birth. Saya sangat elakkan baca cerita birth trauma semasa hujung kehamilan sebab nak elak fikiran negatif. Jaga pemakanan dari awal kehamilan, boleh kata dari ttc jaga pemakanan sebab sebelum ni ada pcos, lepas keguguran doctor kata tak ada dah. Banyakkan makan sumber vitamin dan folate dari real food. Langsung tak makan obimin, asid folic atau apa-apa pil vitamin. Alhamdulillah hb paling rendah sepanjang mengandung 11.8 lepas tu naik balik 12.3, paling tinggi awal kehamilan 14.1. bengkak-bengkak kaki pun tak ada sampai doktor berkali-kali picit kaki macam tak puas hati. Haha. Elakkan gula putih, msg.  Green juice saya mula lepas 36minggu sebab baru baca di wall kak Jannah pasal tu. Amalkan vco, minyak zaitun, gum Arabic, kurma setiap hari. Suami selalu tegur bila saya makan makanan manis dan bertepung supaya berpada-pada. Terima kasih abang.

26.8.2017, turun darah tanda bersalin. Saya bagitahu suami, kami seronok sangat masa tu, tak sabar nak praktik ilmu yang kami cari, tak sabar nak jumpa baby. Belum rasa contraction lagi, jalan-jalan dulu dengan suami nak buka jalan. Malam tu baru ada contraction, tak berapa kuat tapi mengganggu juga tidur. Ingatkan baby nak keluar pagi esok.

27.8.2017, contraction datang agak kuat 8 minit sekali. Ingatkan nak beranak dah, tak pernah beranak sebelum ni mana tahu. 8 minit, kadang-kadang 10 minit. Memang tak boleh lena tidur. Nak rehat tak boleh. Kalau tidur, setiap 8 minit terjaga. Hari ini duduk rumah je sebab takut terberanak. Seharian melayan contraction macam-macam posisi, suami urutkan pinggang, belakang. Selalu cakap pada suami, nak oxytocin. Haha. Suami tenangkan, bagi keselesaan untuk isteri dia. Ambilkan air, makanan. Sediakan kurma. Nikmati kesakitan dengan tenang berdua dengan suami sahaja. Kalau ke hospital, mana nak dapat macamni, masuk wad duduk jelah atas katil tu. Bukan suami boleh teman sepanjang masa.

28.8.2017, masih sama contractionnya. 8 minit sekali dan agak sakit. Mula stress sebab baby tak keluar-keluar. Sangat penat sebab tak cukup tidur. Dah dua hari lebih sakit. Suami pun tak cukup tidur sebab bila tak tahan sangat sakit, saya kejut suami minta suami urut. Saya mula stress sebab hari ni suami ambil cuti untuk tunggu baby lahir, tapi tak juga lahir, saya takut untuk layan contraction sorang-sorang kalau esok suami pergi kerja. Nangis, suami pujuk tenangkan. Suami kata takpe, ambil cuti terus. Lagi dua hari je kerja. 31.8 cuti merdeka, 1.9 cuti aidiladha. Barulah tenang hati saya. Sambil-sambil melayan contraction yang menyakitkan, saya cari pasal long labor, apa nak buat. Pujuk baby cakap dengan baby minta baby keluar. Rasa lapar, makan, rasa haus minum. Cuba untuk rehat supaya ada tenaga. Suami belikan air kelapa, bekalkan electrolyte. Layan je rasa sakit tu. Tukar posisi, berjalan solat macam biasa. Rasa bosan dirumah sepanjang hari, mood gembira tu hilang. Saya bagitahu suami, nak keluar jalan-jalan sebab baca forum orang putih kata lama lagi nak bersalin kalau macamtu gayanya. Malam tu suami bawa pergi pasar malam. Seronok sangat rasa, dapat oxytocin. Setiap kali contraction datang, berhenti kejap Tarik nafas, lepas tu teruskan perjalanan. Bila berjalan memang terasa kurang sakit contraction. Atas motosikal pun layan je contraction. Tarik nafas hembus. Malam tu cakap pada suami, kalau esok tak keluar juga, jom jalan-jalan mall. Terkejut suami.

29.8.2017, waktu subuh layan contraction macam biasa. Dah mula kerap. Pukul 9 pagi sakit datang 3, 2, 1 minit skali. Sakit lama pula tu. Sakit yang sangat sakit. Tak tertahan rasanya. Layan sakit dengan posisi all four sambil suami urut-urut. Sesekali tukar posisi squat nak cepatkan bukaan, tak boleh lama squat, kaki penat. Nak bergerak pun sakit sangat-sangat, tapi saya rasa selesa sebab rumah sendiri kan. Nak ke tandas, nak makan ke minum ke tak ada masalah. Dalam pukul 10.45 pagi terasa urge tu push. Hilang sakit contraction yang tak tertahan tu. Saya masih tahan untuk meneran, cuba breath out baby. Teringat tips, kalau tak boleh tahan baru meneran. Terlupa relax jaw open mouth. Haha. Tulah pentingnya pergi kelas. Saya kawal pernafasan dalam masa sama meneran juga. Masa ni tak tahu adakah di penghujung, adakah baby akan keluar. Dengan penat 3 hari contraction yang sakit. Saya betul-betul tak sabar untuk keluarkan baby. Jadi saya meneran sambil kawal pernafasan. Bagi baby oxygen. Suami berkali-kali pesan, kawal pernafasan, tenang sambil urut belakang dan pinggang saya. Gatal teran sangat, kang dah koyak. Lepas keluar kepala baby, badan meluncur keluar. Terasa baby bergerak turun dari perut keluar. Saya beranak posisi all four. Tepat pukul 12 tengahari Baby organik kami lahir, alhamdulillah tepat 40 minggu lahir. Dengan masih basah ketuban lagi, suami azankan baby kami. Tak sedar, saya menangis terharu melihat putera sulung kami lahir. Alhamdulillah kami berjaya gentle homebirth dengan ilmu. “Eh abang, baby laki la”, saya bagitahu suami. Kami baru tahu jantina baby setelah dia lahir. Selepas azan, saya bonding dengan baby dengan uri yang belum keluar. Suami tahnikkan baby. Sesekali cuba meneran uri sambil berbaring. Alamak, susahnya, macamanalah nak teran baby sambil berbaring. Saya squat, dengan sekali teran secara lembut jatuh uri kebawah. Sambung bonding dan susukan baby sambil DCC. Alhamdulillah dapat DCC 6jam untuk baby kami.

Alhamdulillah, kelahiran yang saya rasa sangat menyeronokkan. Darah keluar tak banyak lepas melahirkan. Saya rasa bertenaga. Ke tandas, mandi bersihkan diri. Boleh berjalan turun tangga pergi ke kereta tanpa rasa sakit. Petang tu saya ke hospital untuk potong uri dan jahit koyakkan. Layanan yang saya dapat sangat mengganggu emosi dan fizikal saya.Tak apalah jahit sikit, nanti pergi kelas menuntut ilmu lebih lagi insyaAllah. Baby pun mudah diurus semasa pantang, tak banyak ragam. Semasa pantang hari ke 30 kami serumah diuji dengan selsema batuk yang teruk, ibu mertua saya demam. Berjangkit dari seorang ke seorang, tapi Alhamdulillah baby organik kami sihat wal afiat.
Tapi betullah kata akak-akak doula, bila dah dapat gentle birth memang rasa ketagih nak bersalin. Dalam pantang duk fikir, sempat ke kalau nak bersalin lagi tahun depan. Haha. Seronok sangat lalui proses bersalin, itu yang sakit, ada koyak, long labor pula tu. Kalau yang bersalin tak rasa sakit macamanalah rasa dia. Lepas ni bersalin memang azam sungguh nak usaha dapat intact perineum, tak mahu jahit. InsyaAllah. Sakit betul kena jahit.
Kenapa pilih untuk bersalin di rumah?

Sebab saya harapkan gentle birth dengan posisi mesra graviti ditemani suami tanpa gangguan orang luar dan dadah-dadah penahan sakit, nak rasa beranak secara fitrah, ikut kata hati bukan kata doctor atau nurse dan nak Delay Cord Clamping untuk anak saya. Rasa gerun mendengar cerita-cerita trauma orang bersalin di hospital dengan kesilapan staf hospital secara sengaja atau tidak sengaja.
Kak Jannah selalu pesan, tawakkal pada Allah, tapi ramai orang tawakkal pada doctor. Sampai masa, serah diri. Serah tadah pasrah. Biarlah apa yang doctor nak buat pada diri kita sebab doctor lebih tahu katanya. Nak induce ke, nak caeser ke, biarlah asalkan selamat. Badan kita, kitalah patut lebih tahu tahap kesihatan kita, kita yang menjaga. Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita, tawakkal dan usaha cari ilmu. Kalau ikutkan saya sepatutnya kena serah diri lebih awal, tapi saya tahu tahap kesihatan saya. Saya tak mahu paksa kalau baby belum sedia keluar.

Bukan mudah nak gentle birth, nak kena tahan nafsu makan, nak kena ambil tahu sayur buah apa lagi nak makan sebab nak bagi cukup vitamin dan folate untuk baby. Tahan diri dari ambil gula, tepung dan makan ringan. Kena bersenam dan aktif jangan malas. Kena tahu kenapa baby boleh berak dalam perut, kenapa baby boleh lemas, bagaimana nak atasi semua tu. Semua kena cari, kalau masuk kelas senang, cikgu-cikgu ajar. Semuanya kena buat sebab tak mahu serah tadah pasrah. Orang lain tak perlu jaga kalau nak serah tadah pasrah, cukuplah makan vitamin yang KK bagi, bermalas-malasan. Makan banyak-banyak masa mengandung, makan sedap-sedap sebab masa pantang 40 hari tak boleh makan sedap. Sebenarnya banyak makanan sedap dan sihat, Cuma kita nak ke tak nak.

Akhir kata, jangan tiru aksi ini kalau belum menuntut ilmu. Tuntut ilmu, belajar jangan mudah ditipu. Semua orang boleh merasai kelahiran secara fitrah, tak perlu beranak dirumah. Dimana-mana kita boleh gentle birth, hanya tinggal untuk menuntut ilmu dan mempraktikkan sahaja. Jom sama-sama gentlebirth. 

Catatan Isteri

Sepasang suami isteri muda menikmati kehidupan berumah tangga. Rumahnya kecil, tidak beruang tamu. Isterinya selalu khuatir jika ada tetamu yang ingin bertandang. Sesekali bilik menjahit dijadikan ruang menerima tetamu. Mereka bahagia bersama. Makanan yang ada, sedikit atau banyak dikongsi bersama. Tidak sesekali salah seorang daripada mereka makan sendiri, pasti akan disimpan dan dibawa pulang untuk dinikmati bersama. Ada hari-hari yang cuma berlaukkan telur, tapi tidak pernah satu hari pun mereka tidak makan. Rezeki Allah untuk mereka tidak pernah putus. Biarpun mereka serba kekurangan, pasti ada pertolongan Allah untuk mereka.

Petang itu, Pekan Mutah bising dengan hon-hon kenderaan, seperti hari-hari sebelumnya dan tahun-tahun sebelumnya. Pekan Mutah tidak pernah sunyi kecuali sudah larut malam. Si Isteri pulang dari kelas pengajiannya. Suaminya menyambut dengan senyuman dan masakan yang sungguh enak. Apa lagi yang Isterinya inginkan? Cukuplah kebahagiaan di dalam rumah tangga yang sederhana. Isteri tidak berharap untuk menikmati kemewahan harta benda.

Petang itu, mereka yang kelaparan menikmati masakan yang di masak suami. Mereka makan dalam talam bersama-sama. Sesekali suap-menyuap. Tersenyum Isteri. Bahagianya rumah tangga ini. 

Mereka cuma berdua. Belum memiliki cahaya mata. Biarpun begitu, mereka menikmati saat indah bersama.

Kucing-kucing dirumah menghiasi tawa mereka. 14 ekor kucing yang silih berganti memberikan rasa bahagia. Pasangan suami isteri ini sering keluar berjalan-jalan diwaktu petang. Kadang-kadang mereka mengutip kucing-kucing kelaparan untuk dibela. Kasihan. Pasti mereka kesejukan yang teramat sangat pada musim sejuk.

Untuk makan sehari-hari, mereka berniaga. Suami berniaga makanan, isteri mengambil upah menjahit baju. Pada waktu malam, Suami menyiapkan bahan-bahan untuk berniaga keesokkan paginya. Berniaga popia, chicken wrap. Paginya, suami bangun awal pagi untuk menyiapkan dan membungkus makanan jualan. Isteri pergi ke kelas dengan membawa makanan tersebut. Ditinggalkan di surau Kuliah Syariah. Jualan mereka laku, habis. Mereka suami isteri bersyukur. Alhamdulillah. Ada hari tidak habis, banyak saingan. Isteri bawa pulang, jadi makanan tengahari mereka hari itu. Alhamdulillah rezeki juga. Sebelum pulang ke rumah, isteri membeli bahan-bahan mentah untuk berniaga lagi keesokan harinya. Roti Syirak bahan utama jualan mereka. Kadang-kadang habis, isteri terpaksa pergi ke kedai lain. Satu demi satu kedai dia pergi dengan berjalan kaki. Tidak pulang selagi belum dapat roti. Suami selalu pesan, kalau banyak sangat, berat jangan angkat. Berbelas-belas keping roti syirak perlu dibeli. Ayam sudah diperap suami dirumah. Begitulah mereka, bekerjasama untuk mencari sesuap nasi.

Hujung minggunya berniaga chicken chop. Kebanyakan kerja suami yang buat. Isteri hanya membuang tulang ayam, kupas potong kentang dan membuat kuah. Suami memerap ayam, menggoreng kentang, membuat mashpotato, menggoreng ayam. Kerja-kerja mereka sangat penat. Sekejap sahaja mereka dapat melelapkan mata. Keesokkan harinya, kerja menggoreng dan membungkus. Selesai membungkus, mereka perlu menghantar dari rumah ke rumah. Pekan Mutah dari hujung ke hujung mereka berjalan dengan membawa 20 bungkus chicken chop. Keduapuluh-dua puluh chicken chop semuanya Si Suami yang bawa. Isteri hanya meneman dan mengetuk rumah akhawat (gelaran untuk pelajar perempuan). Suami tidak mengizinkan isteri membawa barang berat, dari awal pernikahan mereka. Untuk kesihatan Isteri katanya. Isterinya sebelum bernikah selalu mengangkat berat, beras 10kg, tong gas semua dipikul sendiri. Setelah bernikah, dia tidak akan merasainya lagi, istimewanya dia isteri kepada Si Suami. Tiada penghargaan yang dapat dia hadiahkan kepada Suami melainkan berusaha menjadi isteri solehah, menjadi bidadari dunia dan akhirat buat suami.

Pulangnya mereka daripada menghantar pesanan chicken chop bersama duit dan kepenatan yang amat sangat. Kepenatan bersama kepuasan. Rehat mereka hari itu dengan rasa bahagia. Sepanjang masa bersama, sedikitpun tidak ada rasa bosan dan jemu, bahkan semakin hari makin terisi dengan rasa cinta.

Ada waktu-waktu kosong, isteri menjahit. Pelanggan tidak putus-putus menghantar tempahan. Macam-macam permintaan. Isteri yang belum pernah belajar menjahit turutkan sahaja. Jadikan itu sebagai cabaran untuk belajar sendiri ilmu jahitan. Bilik menjahit penuh dengan plastik pakaian pelanggan. Sesekali, Si Suami 'mengganggu' Si Isteri menjahit. Isteri suka begitu, 'ganggu' yang menemani, tapi Suami tidak suka. Katanya Isteri terlalu fokus dengan jahitan, tidak boleh layan Suami bercakap. Ya, memang. Apa yang Suami ceritakan pun masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas menjahit, Isteri minta Suami ceritakan kembali. Geramlah Si Suami. Si Isteri hanya ketawa menceria suasana.

Ramai yang memerhatikan mereka. Kata mereka sweet sangat, asyik berdua je. Betul seronok berumahtangga. Cabaran-cabarannya juga ada, mereka tempuh dengan rasa cinta. Se sweet mana pun, jika belum mempunyai anak tetap terasa belum lengkap. Setiap purnama si isteri menitiskan air mata menantikan keputusan positif yang tak kunjung tiba. Mereka selalu berdoa agar cepat dikurniakan cahaya mata.

Pekan Mutah menjadi saksi kisah cinta mereka. Suka, duka kesusahan yang mereka lalui bersama. Catatan Isteri ini agar sama-sama tidak lupa kenangan indah yang tidak akan mungkin berulang lagi. Kesusahan itu yang menghadirkan rasa cinta buat kali pertama, berharap kesenangan akan datang tidak menghapusnya. Biarpun kini suasananya berbeza, suasana hati tetap sama. Dihuni rasa cinta yang tiada penghujungnya.

Cinta. Bahagia. Dua benda yang berbeza. Cinta tak semestinya bahagia, bahagia tak semestinya cinta. Tapi di dalam rumah tangga Si Suami dan Si Isteri ini punyai keduanya.

Thursday, May 4, 2017

Mujahadah

Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis.

Syurga itu manis? Ya! tersangat indah, penuh dengan nikmat yang tidak akan dapat kita gambarkan dengan aqal fikiran kita yang waras ini. Sungguh jika kita cuba gambarkan tetap tidak akan sama dengan khayalan dan angan-angan kita.

Perjuangan itu pahit? Ya! Pahit kerana perlu mengekang nafsu, melawan apa yang kita suka (yang salah di sisi agama). Meninggalkan kegemaran kita (haram), 'terpaksa' membuat apa yang kita tak suka, apa yang kita malas (ibadat)

Tapi

Perjuangan itu juga boleh menjadi manis, terpulang bagaimana kita mendidik deria rasa kita.

Seperti makan, selera masing-masing. Ada yang suka manis, ada yang suka masin, masam, pedas dan sebagainya. Ada yang suka ikan singgang, ada yang tak. Hakikatnya selera, kegemaran boleh didik. Apabila dipaksa-paksa, lama-lama boleh menjadi kegemaran. Mungkin ada beberapa makanan yang memang tak boleh masuk tekak.

Begitu juga perjuangan. Kita boleh mendidik diri kita untuk merasai kemanisan perjuangan. Halawatul Mujahadah. Perlukan masa. Bagaimana kita rasa sungguh terpaksa untuk menunaikan solat subuh, untuk sampai ke tahap bangun sendiri dengan perasaan yang tidak sabar untuk solat berjemaah di masjid. Jauh perjalanannya. Terpulang bagaimana kita mendidik, perlahan dan tenang atau drastik dan berkesan. Masing-masing mempunyai target. Jika rasa ingin hidup 100 tahun lagi, boleh la bertenang, sedang kita sendiri tidak tahu sampai bila umur kita.

Keterpaksaan itu ada pahitnya. Kita buat dalam terpaksa juga dicatat pahala, cuma bagaimana kita ingin seronok untuk bermujahadah. Apabila timbul kemanisan dan keseronokan, kita akan lebih ringan untuk berbuat kebaikan terus kita tidak akan rasa terbeban untuk menuju syurga yang tersangat manis yang diimpi.


Sunday, March 5, 2017

Nikmat Dunia

Menganggap kehidupan ini sekadar kehidupan,
Sekadar untuk dinikmati rasanya,
Hidup sekadar sahaja,
Bermewah dengan harta,
Berbahagia dengan isteri dan anak semata,
Hiburan saban hari saban ketika,

Ketika kesedihan datang,
Sogok lagi dengan hiburan,
Air mata hilang,
Ketawa pecah,
Terhibur,
Langsung lupa Tuhan,

Terlupa atau tidak tahu,
Dunia ini bukan tempatnya,
Dunia ini tempat untuk berusaha,
Dunia tempat untuk membina cinta padaNya,
Dunia jalan untuk kebahagiaan hakiki,

Nikmati dunia tidak mengapa,
Nikmatilah sekadar sahaja,
Nikmati seperti islam ajarkan,
Tidak melalaikan,
Malah mendekatkan,

Hiburkan diri dengan Al-Quran,
Hiduplah dengan gaya sunnah,
Islam datang bukan membebankan,
Islam datang membawa kebahagiaan...

Saturday, October 1, 2016

Ujian

Bismillah

Alhamdulillah bersyukur dengan setiap kenikmatan yang Allah kurniakan kepada kita, terlupa kita untuk mensyukuri setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan kita. Dengan ujian itulah membuatkan kita semakin hari semakin kuat dalam menjalani kehidupan. Membuatkan kita lebih matang dalam mengharungi kehidupan yang kian mencabar. Benar. Dugaan itu akan bersama air mata yang tak putus-putus, membuatkan jiwa kita resah dan gelisah, memikirkan bagaimana dan apa yang perlu dilakukan. Percayalah, di akhirnya kita akan berasa lega dan tenang setelah melaluinya dengan tabah dan cekal.

Ujian setiap orang berbeza kerana kemampuan kita berbeza. Allah menguji kita sesuai dengan kemampuan kita. Perkara yang paling penting apabila diuji adalah keimanan kita terhadap Allah. Yakin ujian itu ada hikmah disebaliknya. Yakin ujian itu adalah tanda Allah sayangkan kita. Yakin ujian itu adalah pengangkat darjat kita ke darjah yang lebih tinggi.

Firman Allah dalam surah Al Ankabut ayat 2, "Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan "Kami telah beriman" dan mereka tidak diuji."

Bukan mudah untuk kita menjadi orang beriman. Setiap yang manis itu perlukan pengorbanan untuk memperolehinya. Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis. Setiap perjuangan itu ada mehnah dan dugaan tersendiri yang kadang-kadang kita rasa kita tak mampu untuk melaluinya, tak mampu untuk menyelesaikannya.

Apabila ujian itu datang, orang sekeliling yang kita sayang juga tidak mampu untuk melegakan kita. Hilang kebergantungan kita terhadap manusia. Kita buntu untuk bergantung kepada siapa lagi. Suami, isteri, ibu bapa tak ada sesiapa yang boleh membuatkan kita tenang. Waktu ini, hanya Allah tempat kita mencurah segala. Meminta-minta dan merayu agar diberi ketenangan hati, memohon agar diberikan jalan keluar. Sedar pada waktu itu kita manusia yang lemah yang sangat memerlukan Tuhan. Sebelum ujian datang, kita seringkali terlupa yang kita punya Allah, kita milik Allah. Kita lalai dengan dunia dan kesenangan. Tersentap apabila ujian datang.

Jujur saya katakan, ujian yang datang itu penuh dengan hikmah. Hikmah yang sangat besar, yang kadang-kadang mengubah seluruh hidup kita menjadi lebih baik. Hanya Allah yang mengetahuinya. Sedang kita bertarung dengan emosi menempuhi ujian, kita merintih "kenapa aku?" " kenapa berat sangat". Menangis dan terus menangis kerana berasakan ujian itu sungguh perit. Ujian itu memenjarakan diri dan kita berusaha lari daripada semua itu. Langkah kita kaku, seolah-olah kaki dan tangan diikat dan kita dipaksa menempuhi juga ujian itu. Keterpaksaan yang sungguh perit. Keterpaksaan yang perlukan pendukung yang pendukungnya adalah Allah Pencipta kita yang memiliki segala.

Setelah kita kaku beberapa ketika, mungkin memakan masa. Kaku yang penuh kesedihan yang perlu dikawal emosinya. Kita 'dipaksa' pula melalui kenikmatan yang tidak disangka-sangka. Itulah hikmah. Kebaikan yang ada disebalik kesusahan yang dilalui. Bahkan hikmah itu mengubah seluruh hidup kita.

Ujian itu menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Ujian itu membuatkan kita semakin cinta pada Allah, menjadikan kita hamba yang lebih beriman dan bertaqwa kepadaNya. Kita sendiri yang merasai perubahan suasana hati. Hati lebih tenang, lebih damai biarpun hidup serba kekurangan.

Allah uji kerana Allah cinta. Allah sayangkan kita, tidak mahu kita terus di dalam kemaksiatan dan terus di dalam kelalaian. Penguat kita hanyalah Allah, pemilik hati kita.


Saturday, August 27, 2016

Sanfurah-Jordan Tahun 1

Sanfurah, panggilan untuk pelajar tahun satu di Jamiah (Universiti). Kata senior, itu panggilan untuk mengutuk seseorang. Kalau arab tanya "enti sanfurah?" jangan jawab "na'am". Itu kata senior, tapi saya pernah bertanya arab, dia sanfurah ke. Arab tu jawab ya. Tak pasti saya, memang betul mengutuk atau memang panggilan untuk tahun satu.

Sepanjang tahun satu ini, ujian bertubi-tubi kami dapat. Siapa kami? kawan serumah. Pada waktu itu, kami diuji dengan keadaan rumah dan sohib (tuan rumah) yang agak teruk. Saya tinggal di Bayt Marjan Solehah di Syuqah Ahmad bersama Kamilah, Asyikin dan Izzati. Saya dan Asyikin satu sekolah, Kamilah pula Imtiaz. Hanya Izzati yang bukan Terengganu, dari Selangor. Alhamdulillah dikurniakan Housemate yang baik. Kami tak ada masalah pun seperti orang lain. Bergaduh la apa la. Hampir setiap malam kami berkumpul sama-sama, sembang-sembang gelak ketawa. Manis terasa ukhuwah kami. Sungguh orang lain cemburu dengan kami. Memang niat kami ingin terus bersama sehingga tahun 4, tapi tak kesampaian atas banyak faktor.

Teringat suatu hari tu, masa tu saya belum ditetapkan di rumah kak senior yang balik Malaysia. Saya dan Kautsar (kawan sekolah) menziarahi Asyikin. Beberapa hari sebelum tu, Asyikin ada cerita tentang masalah rumah dan rasa tak tahan sangat. Sesampai di rumah Asyikin, dia cerita la rumah dia macamana. Saya tak terlalu fokus tentang masalah itu, cuma minta dia sabar. Petang itu saya pulang ke rumah transit dan dapat berita yang saya tinggal ditetapkan di Syuqah Ahmad, bayt Marjan Solehah. Terkejut masa tu. Bukan ke dah tetap di rumah lain. Kata AJK waktu tu, senior yang pulang ke Malaysia tu balik ke Jordan lambat sikit, jadi terpaksa bahagikan dulu adik-adik ni ke rumah yang kosong supaya mudah. Kelas dah nak mula. Allah.

Masa tu tak boleh kata apa, dah tahu rumah tu teruk tapi terpaksa akur. Pergi juga la. Fikir positif je masa tu. Housemate sesekolah, Terengganu. Mudah nak berkomunikasi kot.

Ujian rumah kami tak ada yang saya rasa paling teruk, sebab semuanya sama teruk. Pertama, Ujian dapur. Setiap dapur ada lubang air kotor, bila kita guna sinki, air tu akan masuk dan melalui lubang itu. Kes di rumah kami, lubang tu tersumbat dan apabila kami menggunakan sinki, air kotor akan naik melalui lubang itu. Naik bukan sikit, tapi deras. Sambil masak, kami terpaksa tolak air masuk balik ke lubang. Sangat mengganggu. Dah bubuh asid nak bagi ok, tapi tak pernah elok pun. Biro penempatan dan keselamatan selalu lawat rumah kami dan tolong perbetulkan. Masa tu ketua Ustaz Arsyad, dia korek lubang tu pakai tangan dia. Tak elok juga. Kesian, air kotor dan busuk pula tu.

Hari pertama saya sampai di rumah tu, rumah tak ada air. Asyikin kata biasa rumah ni tak ada air. Air tak naik. Sistem di Jordan, air hanya naik hari Jumaat dan akan tersimpan di tangki. Air dalam tangki itulah akan digunakan sepanjang seminggu. Kena Jimat-jimat. Disebabkan tak ada air, kami pun buka je paip air di tandas dan terlupa tutup. Masa tu Minggu Taaruf, jadi ada program di Universiti, kena tidur di rumah fesi. Selesai program, kami pulang ke rumah dan terkejut melihat satu rumah banjir. Kalau lantai simen ok la lagi, tapi rumah di Jordan kesemuanya karpet. Berangkut la nak jemur karpet tu. Rumah kami air jarang naik sampai penuh tangki. Memang masalah.

Kalau di tandas, air selalu menitik dari siling. Air dari tandas rumah atas. Kan kotor tu, menitik atas kepala. Kalau elektrik, selalu putus-putus. Kadang-kadang sampai 2 hari tak ada elektrik. Sedih sangat. Pernah saya menangis sebab tak tahan sangat keadaan rumah.

Sohib awalnya ok, konon datang rumah tanya ok ke? Memang tak ok la rumah tu. Ustaz Arsyad dan kak Nada (BPK waktu tu) cakap sohib dah janji nak taslih(baiki) rumah tu sebelum kami datang. Tapi janji tinggal janji. Kami bertahan sehingga 6 bulan pertama. Bercadang untuk pindah masa tu. Tak sanggup dah. Ustaz Arsyad kata rumah kami 6 bulan je akad. Bila tengok balik BPK silap tulis dalam bahasa melayu. Keliru sittah dan sanah. Allah, Kena tahan lagi sampai cukup setahun.

Masa tu Ustaz Arsyad ugut baba (panggilan untuk sohib), kalau tak taslih juga kami akan pindah tak kira apa yang jadi. Baba masa tu mengamuk. Kami sendiri tengok. Marah dia. Kami semua masa tu dah tak suka baba. Izzati tetap pindah ke rumah lain, jadi dia bayar sewa untuk dua rumah. Kena ikut sistem akad. Kalau pindah sebelum habis akad, jadi kena bayar sewa untuk rumah tu kecuali ada pengganti. Tinggallah kami bertiga. Menghadapi baba.

Baba minta labu (panggilan untuk buruh mesir tukang baiki). Labu ni pakar dalam baiki apa je. Dia buat kerja laju. Oh lupa, yang buat kami tak tahan sangat masa tu adalah tandas tersumbat. Air bertakung. Kalau nak buang air, kami terpaksa ke rumah orang lain. Cuba bayangkan setiap kali nak buang air terpaksa ke rumah orang lain. Air kotor dalam tandas tu bertakung macam tu je. Kami waktu tu macam dah mati hati ni. Tengok pun tak ada perasaan. Busuk tak usah cerita la.

Jadi itu benda pertama yang labu baiki. Kami usaha je pam, tapi tak menjadi. Malu juga kalau orang luar yang baiki, tapi terpaksa. Labu baiki masa tu, dia masukkan pam. Sampai hancur pam tandas tu, tandas terus ok.

Lepas tu labu baiki air yang naik di dapur. Masa tu dah magrib. Dia jolok-jolok tak jadi. Lepas tu dia keluar dan panjat tangga. Kami tengok luar tingkap dapur. Dia tunjuk paip besar katanya disitu masalah. Jadi dia bagi arahan untuk kami hulurkan apa-apa alat melalui tingkap dapur.

Labu sepanjang di rumah kami baik. Dia ada cakap melayu sikit. Dia kenal Tok guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi. Dia kata dia bekas pelajar Universiti Azhar. Ustaz Arsyad ada pesan, baik ke apa-apa jangan layan sangat. Dia arab lelaki tetap bahaya. Lebih kurang seminggu lebih labu ke rumah kami.

Masalah tangki yang tak naik air, dia baiki. Ada batu yang tersumbat dalam paip tu. itu yang air naik perlahan dan berhenti. Masalah air menitik dari tandas atas, dia baiki. Dia naik ke rumah atas, tampal simen. Masa tu rasa Macam dia Hero la. Haha. Semua tu baba bayar sebab dia dah janji nak taslih sebelum kami masuk lagi.

Alhamdulillah rumah dah ok. Kami pun mula-mula ingat nak tinggal je situ sebab rumah dekat nak beli barang ke apa ke. Tapi ada masalah yang menyebabkan Asyikin terpaksa pindah. Saya pun terpaksa cari rumah. Lupa pula, lepas rumah dah ok, Ainura masuk rumah kami, ganti Izzati. Ainura tak bayar sewa penuh sebab dia pun ada rumah nak kena bayar sewa juga. Pindah sebelum akad. Dia pindah sebab rumah tu jauh sangat. Jadi kami berempat. Ainura dan Kamilah satu sekolah dulu, tapi biasanya Ainura rapat dengan Asyikin, saya rapat dengan Kamilah. Rindunya masa tu.

Rumah kami dah ok, tapi baba macam dendam dengan kami. Minta duit sewa bentak-bentak. Kami tak tahan juga. Akhirnya buat keputusan semua pindah dan jangan bagi adik baru masuk rumah tu. Lepas dah pindah, kami tak bagitahu baba sebab ingatkan baba dah maklum yang kami akan pindah lepas habis akad. Kunci rumah pun tak bagi baba sebab ingatkan semua sohib ada kunci pendua. Tinggallah rumah tu begitu.

Saya waktu tu pulang ke Malaysia, tak tahu sangat apa yang terjadi. Bila balik je Jordan, Kamilah dan Ainura kata baba minta duit taslih. Duit taslih ni duit baiki rumah, tuan rumah akan tengok apa kerosakan yang kita telah lakukan terhadap rumah tu dan akan cas. Selalunya tak ada kerosakan pun, tapi memang perangai dia nak minta duit. Kami kena lebih 200JD. Memang botak kepala, bayar benda yang bukan kami buat. Rumah tu memang dah buruk, dah ditinggalkan dengan keadaan yang teruk. Terpaksa bayar juga sebab tak boleh nak lawan dah. Bila fikir balik, tak apa la. Dah pindah pun, tak mahu fikir lagi masalah rumah, sohib yang bermasalah. Bermulalah tahun dua di Syuqah tarawneh.

Biarpun sudah lama berlalu, memori ukhuwah yang tercipta di Syuqah Ahmad Bayt Marjan Solehah tetap saya kenang-kenang. Kadang-kadang rindu sendiri. Walaupun Ahli Bayt yang lain mungkin sudah lupakan ukhuwan manis tersebut, hati saya sampai sekarang masih terkenang-kenang. Kami sungguh kuat bertahan dirumah tersebut, selalu saling menceriakan antara satu sama lain kerana mungkin sudah cukup tekanan daripada sohib. Belajar bersama-sama sampai tak tidur malam. Beli kopi, minum sebelum belajar, akhirnya terlena juga. Bila baba datang ketuk pintu rumah, sama-sama diamkan diri sebab takut. Lucu terasa. Rindu..............

Sunday, July 19, 2015

3 Tahun di Jordan

Bismillah.

Sekejap sahaja terasa, sudah 3 tahun di bumi urdun ini. Masih berbaki kurang setahun lagi untuk habiskan pengajian di sini. Jujur, takut diri ini untuk merindui bumi yang bakal ditinggalkan. Bumi yang berkemungkinan tak mampu untuk dijejaki lagi.

Kalau ditanya, apa yang diperolehi sepanjang di sini? MasyaAllah. Terlalu banyak. Sedar atau tak sedar sahaja. Kekadang Allah hantarkan ujian sedikit, besar kesannya. Bukan diri ini seorang, teman yang lain juga turut berasa ujian di bumi anbiyak ini.

Jordan ini bukanlah negara yang mengamalkan islam secara syumul. Aurat tak terjaga, ramai juga yang free hair, adab pun entah kemana. Biarpun begitu, Jordan ini tetap bumi anbiyak. Bumi para nabi. Mungkin tempat yang dilalui setiap hari itu adalah tempat yang pernah dilalui Rasul suatu ketika dahulu. Sepanjang 18 tahun di Malaysia, tak pernah pula se sentap berada di Jordan. Allah datangkan bertubi-tubi ujian. Kadang-kadang Allah datangkan wasilah untuk menegur kita.

Antara yang saya dapat sepanjang berada di sini adalah ilmu agama. Mestilah kan. pergi Jordan katanya belajar, takkanlah tak dapat ilmu tu. Ilmu bahasa arab, fiqih, dan banyak lagi. Menjawab soalan orang bukan boleh sesuka hati kata "rasanya.... hukum dia macam gini..". Itu yang ummat rosak. Pelajar agama menjawab sesuka hati sesedap rasa. Kalau tak yakin, lebih baik untuk tawaquf (berhenti) dulu. Cari dulu jawapan beserta dalil. Kalau tiada dalil, tengok bagaimana kaedah untuk mensabitkan hukum dia. Qawaid Fiqhiyah bagaimana. Dalam menjelaskan kepada orang, perlu untuk belajar maqasid syariyah. Khilaf dalam dunia fiqih ini terlalu banyak. Cara penyampaian sangat penting, melihat waqi' sesuatu tempat. Masih terlalu banyak yang kurang, insyaAllah, perjalanan saya tidak sampai di sini sahaja. Mesir menanti. Doakan perjalanan yang bakal kami (saya dan suami) hadapi bersama.



Selain itu , saya juga dapat menimba ilmu perniagaan. Tanpa disedari, TERPAKSA berniaga untuk menanggung kos perbelanjaan di sana. Saya bermula dengan menjahit pada tahun satu dulu. Dalam masa yang sama, saya berniaga hot dog di musollah kuliah syariah. Kemudian, tahun ke dua saya bawa mesin jahit dari Malaysia. MasyaAllah, tempahan tersangat banyak. Sampai saya terpaksa tutup tempahan awal sebelum saya pulang. Alhamdulillah, rezeki kami. Langsir, baju sendiri tak sempat jahit. Kata suami saya, memang tukang jahit seluruh dunia macam gini. Hehe. Arwah bapa mertua saya dan kakak ipar saya juga tukang jahit, sekarang isteri dia pula tukang jahit. Faham benar dia dengan tukang jahit ni. Setelah itu, sesampainya suami saya di Jordan. Kami mulakan bisnes baru. Berniaga chicken chop. Alhamdulillah, ramai yang memberi feedback positif. Sedap katanya. Resepi daripada suami saya, perapan ayam itu yang sedap. Saya cuma buat kuah dia sahaja. Chicken chop kami ada coleslaw dan mash potato bersama sos gravy sekali. Hehe. Macam promosi pula. Yang saya dapati sepanjang berniaga ni. Sangat penat apabila berniaga chicken chop. Sampai saya tak mampu nak senyum. (Jangan contohi kalau nak jadi isteri solehah). Bukan marah, tapi penat sampai tak mampu nak senyum. Selalunya saya mesti tenangkan diri sebentar dan senyum kembali. Isteri solehah adalah isteri penyejuk mata penawar hati suami. Jadi saya mesti senyum untuk gembirakan suami saya. Semua itu pahala. Kalau menjahit, itu minat saya. Jadi penat tak terasa sangat. Penat itu hilang apabila tengok baju dah siap berjahit. Siap disusun dalam plastik untuk diambil pelanggan. Kegemaran suami saya adalah memotong nama pelanggan yang dah siap. Saya pun seronok tengok potongan nama-nama itu. Duit nak masuk... duit nak masuk.... hehe..

Saya tak dapat tajaan ke? Bersusah payah berniaga? Alhamdulillah, dapat zakat terengganu. Pada tahun satu dulu tak dapat zakat. Setelah bermula, takkan lah nak berhenti. Lagipun niat juga untuk tolong orang lain. Pelajar melayu susah nak ke tukang jahit arab sebab jahitan mereka teruk. Tapi, zakat tu tak cukup pun. Kami berdua, lainlah kalau duduk dengan kawan-kawan. Semua duit share. Ni balik Malaysia, duit tiket lagi. Manalah cukup. Bila fikirkan, ada kurang setahun lagi, lega. Kos sara hidup yang sangat tinggi di Jordan, tak mampu lagi untuk bertahan lama. Insya Allah bulan 5 ini habis.

Pernah kami lalui, duit dalam bank tinggal rm200. Ditangan cuma beberapa dinar. Sewa rumah berbulan tak berbayar. Sedih juga masa itu. Tapi, Allah janjikan kami rezeki. Alhamdulillah. Dapat juga makan minum berbekalkan duit niaga. Pada masa ini, kekuatan itu datang dari cinta. Penat sangat, tapi fikirkan orang yang dicintai, kami jadi kuat.

Apa lagi yang saya dapat di Jordan? Dapat Kahwin. Hehe. Rupanya, Jordan adalah wasilah untuk menemukan saya dengan jodoh saya. Itu yang "rindu sebelum masanya".

Sejujurnya, saya dapat rasakan perubahan kematangan itu secara drastik selepas menikah. Banyak belajar daripada suami. Saya tengok, sahabat-sahabat sekolah saya masih sama. Cara chatting mereka, komen, status mereka. Masih remajaan. Asyik bincang pasal couple, lelaki itu dan ini, tak sabar nak kawen (yang ni bagus, tapi tak perlulah gedik sangat). Cerita lelaki itu ini handsome. Saya mungkin pernah lalui semua itu, (kecuali lelaki handsome) tapi bertahun-tahun yang dulu. Eh, kenapa cerita pasal kematangan daripada perkahwinan pula? Sebab ini juga yang saya dapat sepanjang di Jordan.

Akhir kata, doakan jodoh kami berkekalan hingga syurga, perjuangan kami tidak futur, sentiasa bersemangat kerana Allah demi ummat, dan doakan kami dikurniakan mujahidin yang ramai (baby).






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...