klik!

Saturday, August 27, 2016

Sanfurah-Jordan Tahun 1

Sanfurah, panggilan untuk pelajar tahun satu di Jamiah (Universiti). Kata senior, itu panggilan untuk mengutuk seseorang. Kalau arab tanya "enti sanfurah?" jangan jawab "na'am". Itu kata senior, tapi saya pernah bertanya arab, dia sanfurah ke. Arab tu jawab ya. Tak pasti saya, memang betul mengutuk atau memang panggilan untuk tahun satu.

Sepanjang tahun satu ini, ujian bertubi-tubi kami dapat. Siapa kami? kawan serumah. Pada waktu itu, kami diuji dengan keadaan rumah dan sohib (tuan rumah) yang agak teruk. Saya tinggal di Bayt Marjan Solehah di Syuqah Ahmad bersama Kamilah, Asyikin dan Izzati. Saya dan Asyikin satu sekolah, Kamilah pula Imtiaz. Hanya Izzati yang bukan Terengganu, dari Selangor. Alhamdulillah dikurniakan Housemate yang baik. Kami tak ada masalah pun seperti orang lain. Bergaduh la apa la. Hampir setiap malam kami berkumpul sama-sama, sembang-sembang gelak ketawa. Manis terasa ukhuwah kami. Sungguh orang lain cemburu dengan kami. Memang niat kami ingin terus bersama sehingga tahun 4, tapi tak kesampaian atas banyak faktor.

Teringat suatu hari tu, masa tu saya belum ditetapkan di rumah kak senior yang balik Malaysia. Saya dan Kautsar (kawan sekolah) menziarahi Asyikin. Beberapa hari sebelum tu, Asyikin ada cerita tentang masalah rumah dan rasa tak tahan sangat. Sesampai di rumah Asyikin, dia cerita la rumah dia macamana. Saya tak terlalu fokus tentang masalah itu, cuma minta dia sabar. Petang itu saya pulang ke rumah transit dan dapat berita yang saya tinggal ditetapkan di Syuqah Ahmad, bayt Marjan Solehah. Terkejut masa tu. Bukan ke dah tetap di rumah lain. Kata AJK waktu tu, senior yang pulang ke Malaysia tu balik ke Jordan lambat sikit, jadi terpaksa bahagikan dulu adik-adik ni ke rumah yang kosong supaya mudah. Kelas dah nak mula. Allah.

Masa tu tak boleh kata apa, dah tahu rumah tu teruk tapi terpaksa akur. Pergi juga la. Fikir positif je masa tu. Housemate sesekolah, Terengganu. Mudah nak berkomunikasi kot.

Ujian rumah kami tak ada yang saya rasa paling teruk, sebab semuanya sama teruk. Pertama, Ujian dapur. Setiap dapur ada lubang air kotor, bila kita guna sinki, air tu akan masuk dan melalui lubang itu. Kes di rumah kami, lubang tu tersumbat dan apabila kami menggunakan sinki, air kotor akan naik melalui lubang itu. Naik bukan sikit, tapi deras. Sambil masak, kami terpaksa tolak air masuk balik ke lubang. Sangat mengganggu. Dah bubuh asid nak bagi ok, tapi tak pernah elok pun. Biro penempatan dan keselamatan selalu lawat rumah kami dan tolong perbetulkan. Masa tu ketua Ustaz Arsyad, dia korek lubang tu pakai tangan dia. Tak elok juga. Kesian, air kotor dan busuk pula tu.

Hari pertama saya sampai di rumah tu, rumah tak ada air. Asyikin kata biasa rumah ni tak ada air. Air tak naik. Sistem di Jordan, air hanya naik hari Jumaat dan akan tersimpan di tangki. Air dalam tangki itulah akan digunakan sepanjang seminggu. Kena Jimat-jimat. Disebabkan tak ada air, kami pun buka je paip air di tandas dan terlupa tutup. Masa tu Minggu Taaruf, jadi ada program di Universiti, kena tidur di rumah fesi. Selesai program, kami pulang ke rumah dan terkejut melihat satu rumah banjir. Kalau lantai simen ok la lagi, tapi rumah di Jordan kesemuanya karpet. Berangkut la nak jemur karpet tu. Rumah kami air jarang naik sampai penuh tangki. Memang masalah.

Kalau di tandas, air selalu menitik dari siling. Air dari tandas rumah atas. Kan kotor tu, menitik atas kepala. Kalau elektrik, selalu putus-putus. Kadang-kadang sampai 2 hari tak ada elektrik. Sedih sangat. Pernah saya menangis sebab tak tahan sangat keadaan rumah.

Sohib awalnya ok, konon datang rumah tanya ok ke? Memang tak ok la rumah tu. Ustaz Arsyad dan kak Nada (BPK waktu tu) cakap sohib dah janji nak taslih(baiki) rumah tu sebelum kami datang. Tapi janji tinggal janji. Kami bertahan sehingga 6 bulan pertama. Bercadang untuk pindah masa tu. Tak sanggup dah. Ustaz Arsyad kata rumah kami 6 bulan je akad. Bila tengok balik BPK silap tulis dalam bahasa melayu. Keliru sittah dan sanah. Allah, Kena tahan lagi sampai cukup setahun.

Masa tu Ustaz Arsyad ugut baba (panggilan untuk sohib), kalau tak taslih juga kami akan pindah tak kira apa yang jadi. Baba masa tu mengamuk. Kami sendiri tengok. Marah dia. Kami semua masa tu dah tak suka baba. Izzati tetap pindah ke rumah lain, jadi dia bayar sewa untuk dua rumah. Kena ikut sistem akad. Kalau pindah sebelum habis akad, jadi kena bayar sewa untuk rumah tu kecuali ada pengganti. Tinggallah kami bertiga. Menghadapi baba.

Baba minta labu (panggilan untuk buruh mesir tukang baiki). Labu ni pakar dalam baiki apa je. Dia buat kerja laju. Oh lupa, yang buat kami tak tahan sangat masa tu adalah tandas tersumbat. Air bertakung. Kalau nak buang air, kami terpaksa ke rumah orang lain. Cuba bayangkan setiap kali nak buang air terpaksa ke rumah orang lain. Air kotor dalam tandas tu bertakung macam tu je. Kami waktu tu macam dah mati hati ni. Tengok pun tak ada perasaan. Busuk tak usah cerita la.

Jadi itu benda pertama yang labu baiki. Kami usaha je pam, tapi tak menjadi. Malu juga kalau orang luar yang baiki, tapi terpaksa. Labu baiki masa tu, dia masukkan pam. Sampai hancur pam tandas tu, tandas terus ok.

Lepas tu labu baiki air yang naik di dapur. Masa tu dah magrib. Dia jolok-jolok tak jadi. Lepas tu dia keluar dan panjat tangga. Kami tengok luar tingkap dapur. Dia tunjuk paip besar katanya disitu masalah. Jadi dia bagi arahan untuk kami hulurkan apa-apa alat melalui tingkap dapur.

Labu sepanjang di rumah kami baik. Dia ada cakap melayu sikit. Dia kenal Tok guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi. Dia kata dia bekas pelajar Universiti Azhar. Ustaz Arsyad ada pesan, baik ke apa-apa jangan layan sangat. Dia arab lelaki tetap bahaya. Lebih kurang seminggu lebih labu ke rumah kami.

Masalah tangki yang tak naik air, dia baiki. Ada batu yang tersumbat dalam paip tu. itu yang air naik perlahan dan berhenti. Masalah air menitik dari tandas atas, dia baiki. Dia naik ke rumah atas, tampal simen. Masa tu rasa Macam dia Hero la. Haha. Semua tu baba bayar sebab dia dah janji nak taslih sebelum kami masuk lagi.

Alhamdulillah rumah dah ok. Kami pun mula-mula ingat nak tinggal je situ sebab rumah dekat nak beli barang ke apa ke. Tapi ada masalah yang menyebabkan Asyikin terpaksa pindah. Saya pun terpaksa cari rumah. Lupa pula, lepas rumah dah ok, Ainura masuk rumah kami, ganti Izzati. Ainura tak bayar sewa penuh sebab dia pun ada rumah nak kena bayar sewa juga. Pindah sebelum akad. Dia pindah sebab rumah tu jauh sangat. Jadi kami berempat. Ainura dan Kamilah satu sekolah dulu, tapi biasanya Ainura rapat dengan Asyikin, saya rapat dengan Kamilah. Rindunya masa tu.

Rumah kami dah ok, tapi baba macam dendam dengan kami. Minta duit sewa bentak-bentak. Kami tak tahan juga. Akhirnya buat keputusan semua pindah dan jangan bagi adik baru masuk rumah tu. Lepas dah pindah, kami tak bagitahu baba sebab ingatkan baba dah maklum yang kami akan pindah lepas habis akad. Kunci rumah pun tak bagi baba sebab ingatkan semua sohib ada kunci pendua. Tinggallah rumah tu begitu.

Saya waktu tu pulang ke Malaysia, tak tahu sangat apa yang terjadi. Bila balik je Jordan, Kamilah dan Ainura kata baba minta duit taslih. Duit taslih ni duit baiki rumah, tuan rumah akan tengok apa kerosakan yang kita telah lakukan terhadap rumah tu dan akan cas. Selalunya tak ada kerosakan pun, tapi memang perangai dia nak minta duit. Kami kena lebih 200JD. Memang botak kepala, bayar benda yang bukan kami buat. Rumah tu memang dah buruk, dah ditinggalkan dengan keadaan yang teruk. Terpaksa bayar juga sebab tak boleh nak lawan dah. Bila fikir balik, tak apa la. Dah pindah pun, tak mahu fikir lagi masalah rumah, sohib yang bermasalah. Bermulalah tahun dua di Syuqah tarawneh.

Biarpun sudah lama berlalu, memori ukhuwah yang tercipta di Syuqah Ahmad Bayt Marjan Solehah tetap saya kenang-kenang. Kadang-kadang rindu sendiri. Walaupun Ahli Bayt yang lain mungkin sudah lupakan ukhuwan manis tersebut, hati saya sampai sekarang masih terkenang-kenang. Kami sungguh kuat bertahan dirumah tersebut, selalu saling menceriakan antara satu sama lain kerana mungkin sudah cukup tekanan daripada sohib. Belajar bersama-sama sampai tak tidur malam. Beli kopi, minum sebelum belajar, akhirnya terlena juga. Bila baba datang ketuk pintu rumah, sama-sama diamkan diri sebab takut. Lucu terasa. Rindu..............

5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...