klik!

Saturday, August 24, 2024

Meneruskan Kehidupan

 Mencintaimu adalah sebuah hal yang terindah di dunia.. 

Namun...


Mencintaimu kerana Allah adalah hal yang terindah di dunia dan akhirat.


Tidak mudah mencintai kerana Allah.

Mudah untuk menuturkan, tapi tidak untuk melakukan.


Cinta itu sebuah perasaan,

Cinta kerana Allah itu perasaan dan bimbingan mengikut aturan agama.


Biarpun kita tahu yang benar,

Perasaan kita selalu mengajakkan yang salah,

Perasaan yang tidak terdidik,

Perasaan yang mengikut hawa nafsu.


Perit ya sebuah cinta.

Sakit dan pedih.

Kadang-kadang ingin memilih untuk berhenti mencinta.

Mungkin lebih mudah untuk hatiku dan kamu.


Tapi tidaklah,

Aku tidak mahu kehilangan rasa yang indah itu,

Dan aku mesti melalui kepedihan? 

Mungkin saat pedih itu datang, 

Perlahan-lahan cinta menghilang? 


Aku tak rasa begitu,

Cinta akan ada di situ,

Cuma aku... 

Mungkin akan memilih tidak terlalu melayan, 

Untuk meneruskan kehidupan.. 


Sehingga suatu masa aku terima.. 

Hidup ini bukan hanya soal cinta.


Ianya juga soal pengorbanan, kesakitan dan keperitan. 


Dan suatu saat pasti aku akan setuju.

Tanpa cinta pun,

Kita juga bernafas dan hidup dibumi Allah.

Tuesday, August 20, 2024

Cinta Itu Sakit?

 Pernah tak terfikir kenapa kita akan lebih mudah terasa dengan orang yang kita sayang? Kita akan lebih mudah sedih dengan orang yang kita cinta? Kenapa Ye macam tu?


Kenapa cinta itu seolah menyakitkan. Padahal sepatutnya cinta itu membahagiakan. 


Ya, ada masa bahagia. Tetapi apabila masanya sakit, sakitnya terlalu parah. Sedih berat. Sakitnya itu seperti tiada ubat. Haha. Macam tak masuk dek akal kan. Kita boleh cinta orang yang baru sahaja kita kenal. Kemudian berasa sakit yang terlalu dalam. Aduh.

Itulah cinta....

Cinta itu kadang-kadang perlu dikawal. Supaya tidak terlebih batasnya. Ya, kadang-kadang kita sendiri hilang kawalan. Terlalu meletakkan hati kita pada seseorang dan menganggap orang itu akan membahagiakan seluruh hidup kita. Kehidupan sebenarnya tidak semudah itu. Akan ada hari yang bahagia, akan ada juga hari yang kita berdukacita.

Kita juga selalu meletak kayu ukur pada manusia. 'Jika aku bersama dia, aku pasti bahagia. Dia pasti membahagiakan aku'. Sedangkan bahagia itu pada diri kita, ada dalam hati kita sendiri! Kita yang memilih untuk bahagia atau derita. Bercakap memang mudah kan. Hakikatnya begitulah dan kita tetap membuat pilihan yang salah.

Ujian akan selalu hadir untuk menguji. Semasa bujang, ujiannya pada waktu berkenalan, pada waktu bercinta. Selepas nikah, lebih parah lagi ujiannya. Baru tahu perangai sebenar masing-masing. Baru cuba untuk hidup bersama dengan orang yang kita sendiri tidak tahu siapa. Waktu ini, sabarlah menjadi peneman. Kita tak boleh mengubah orang kecuali dia sendiri yang ingin berubah. Ya, sabar. Mesti sabarlah sebab dah jadi suami atau isteri kita kan.

Tidak sedikit orang memilih untuk berpisah. Tak boleh cakap banyak juga. Ujian masing-masing sebenarnya. Perpisahan tidak semestinya gagal. Boleh jadi perpisahan itu sebuah kemenangan bagi sesetengah rumah tangga. Masing-masing mempunyai persepsi tersendiri. 

Tapi, untuk tahu kebenaran tentang kemenangan adalah apabila pilihan itu selari dengan aturan agama. Bersama atau berpisah itu berlandaskan syariat.

Entah apa saya merepek ni. haha. Saje je sebenarnya nak aktifkan blog. 

Saturday, January 6, 2024

Ujian Hati

 Benarlah cinta itu ujian,

Cinta membuatkan kita lemah,

Cinta juga membuatkan kita kuat,

Pilihlah mahu jadi yang seperti apa dengan cintamu itu,

Sebuah perasaan yang ke kadang membuat engkau sakit,

Di lubuk hati yang paling dalam,

Menangis,

Meronta,

Meraung jiwamu yang parah,

Tidak ada yang mendengar,

Engkau seolah-olah sendirian melawan sebuah rasa,

Rasa yang bukan engkau minta tapi hadir secara halus menghuni jiwa,

Tatkala itu kau sedar, 

Rasa cinta itu ujian,

Dengan apa dengan siapa kau cinta....

Itu akan diuji oleh-Nya.

Cintai lah makhluk sekadarnya sahaja kerana dunia ini tempat untuk kita berjuang. 

Thursday, June 25, 2020

Warqah Cinta

Ku catatkan warkah rindu yang dihiasi haruman cinta.
Mencatat dan meluahkan cinta buat engkau yang setia di sisi disaat susah payah.
Mengharung jerih perit yang kekadang mengundang air mata.
Di saat kehidupan yang aku rasa terlalu payah untuk dilalui ketika berseorangan.
Engkau ada.
Mendorong semangat dan kekuatan.
Yang jelas daripada Allah.
Engkau perantara.
Yang Allah hadirkan untuk menceriakan hari-hari ku.
Yang datang untuk memeperindah setiap langkah jalan ku.
Yang sepantas nya aku panjatkan syukur pada Tuhan Yang Maha Memberi Kurnia.
Alhamdulillah...
Semoga Allah ganjarkan syurga buat dirimu..


Wednesday, June 24, 2020

Syurga

Menhuni syurga itu bukan mudah.
Akan ada air mata yang tumpah,
Akan ada jeritan di saat engkau tidak lagi punya kekuatan.
Akan ada persoalan demi persoalan di benak fikiran.
Yang pada akhirnya menemui kebuntuan.

Ada emosi yang perlu di kawal.
Ada perasaan yang harus dikekang.
Buanglah rasa yang menyakitimu.
Agar engkau temui bahagia di hatimu.

Cubalah engkau fahami dia.
Mungkin pada dirimu punya kesilapan.
Yang engkau sendiri tidak sedar.

Ingatlah di saat engkau memilih dia untuk menjadi teman.
Sebesar mana cintamu terhadapnya.
Seteguh mana engkau suatu ketika dahulu mempertahankan dirinya.
Di hadapan kedua orang tuamu.

Usahlah engkau keraskan hatimu.
Lembutkanlah kerana engkau tak mampu.
Jadilah seorang yang lembut kerana Allah sukakan kelembutan.


Monday, October 1, 2018

Rindu

Rindu.
Kadang kita rindu pada kenangan yang pasti tidak akan berulang. Kita rindu waktu itu. Suasana, perasaan kita, orang sekeliling kita. Tapi kita sedar yang masa bergerak ke hadapan bukan ke belakang. Jadi kita cuma sekadar merindu. Rindu yang menitiskan air mata. Tidak mampu berbuat apa. Semuanya berubah. Orang yang dahulunya dekat dengan kita, menjauh. Yang cinta, tidak lagi cinta. Kita pun sudah berubah. Kita tidak lagi seperti dulu.

Kadang-kadang kita berharap masa itu boleh berputar kembali untuk kita perbetulkan keadaannya. Berharap kita tidak akan melakukan itu. Harapan yang tidak akan dapat tertunai. Damage had been done.

Yang boleh diubah kita yang sekarang. Ingin menjadi apa untuk akan datang. Yang lepas biarkan lepas. Kita tidak mampu ubah.
   

Wednesday, August 8, 2018

Nikmat Menjadi Ibu

Alhamdulillah.

29 Ogos ini genaplah setahun menjadi seorang ibu. Alhamdulillah mempunyai seorang anak lelaki yang sihat, sangat aktif sampai ummi pun penat melayan Mursi. Hehe. Tahun ini 5 tahun sudah menjadi isteri, alhamdulillah. 5 tahun mengenali suami dan akan terus mengenal suami hingga akhir hayat, insyaAllah. Semoga Allah panjangkan jodoh kami hingga ke syurga.

Alhamdulillah, Allah bagi peluang untuk saya menjadi seorang Ummi. Nikmat yang tersangat indah di dunia ini. Menanti sehingga 4 tahun untuk menimang seorang pejuang agama Allah. Akhirnya, Allah kabulkan doa saya dan suami. Alhamdulillah. Mursi ini amanah untuk kami jaga, bimbing sehingga menjadi seorang pejuang, semoga Allah permudahkan urusan ini.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan saya sepanjang mengandung dan melahirkan. Sangat-sangat mudah ketika mengandung, tiada loya, tiada sakit-sakit. Selesai melahirkan, Allah mudahkan lagi dengan anak yang tidak menangis waktu malam. Tidak banyak kerenah. Allah mudahkan lagi dengan bagi kesihatan yang sangat baik untuk Mursi. Sepanjang setahun ni, Mursi hanya pernah selsema pada usia 3 bulan selama 4 hari dan acah-acah selsema pada usia 9 bulan. Hanya susu ibu menjadi penawar Mursi.

Nikmat menjadi seorang ibu, sampaikan anak merengek, menangis pun rasa seronok sebab boleh tenangkan anak. Allahu Akbar. Indahnya perasaan menjadi seorang ibu. Semasa menyusukan, perasaan waktu menyusukan, tenang sambil belai rambut anak. Allah bagi semua ini untuk seorang ibu. Nikmat yang tak akan dapat selagi belum bergelar ibu.

Kadang-kadang menjadi ibu ini penat, melayan anak, suami, kerja dan sebagainya. Ambillah kesempatan sepanjang menjadi seorang ibu untuk menikmati rasa menjadi seorang ibu, bukan kita cuba mengelak sehingga langsung tidak merasa perasaan yang indah itu. Tinggalkan anak dengan pengasuh lama-lama, tidak mahu menyusukan anak dengan susu badan. Semua ini penghilang rasa cinta kita kepada anak kita, dan pada masa akan datang kita tidak tahu. Mungkin rasa cinta anak kita pada kita pun akan hilang. Ikatlah ikatan ibu dan anak ini supaya anak merasa kasih sayang seorang ibu. Ikatlah ikatan ini supaya kita rasa kasihnya, perlunya anak kepada kita.


Akhir kata, Ummi sayang Mursi......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...