klik!

Saturday, November 25, 2017

Catatan Isteri 2

Sebelum rumah kecil itu dihuni mereka, banyak rumah transit yang menjadi persinggahan mereka. Si Suami terbang dari Mesir ke Jordan demi menemani isteri tercinta di Jordan. Besar pengorbanan seorang suami, meninggalkan urusan menuntut ilmu yang sampai sekarang belum selesai. Azam mereka, nanti akan menjadi penuntut Al-Azhar bersama-sama. Sama-sama menjadi Faqih dan menjadi permata di dalam agama. Si Isteri tidak mampu membalas pengorbanan ini, rasa bersalah kerana menyusahkan Suami. Janji isteri menjadi teman setia sepanjang perjalanan hidup Suami yang penuh cabaran.

Pada awal-awal mereka menghuni rumah kecil itu, banyak wang yang mereka perlukan untuk membeli perkakas dapur. Perabot tidak usah diceritakan. Itu bukan keutamaan. Cukuplah dapur, mesin basuh manual dan tilam sebagai alas mereka tidur. Beberapa periuk kuali pinggan mangkuk digunakan untuk memasak. Mesin basuh diberikan percuma oleh sahabat kerana rosak bahagian pengering. Rezeki mereka. Kalau dibeli secondhand harga boleh mencecah 50 Jordan Dinar bersamaan 250 Ringgit Malaysia mengikut tukaran wang pada waktu itu.  Kos untuk membaiki bahagian pengering mesin basuh lebih kurang 100 Ringgit Malaysia. Mereka boleh berjimat.

Masih segar di dingatan Isteri, Suami bersendirian mengangkat mesin basuh yang entah berapa belas kilogram naik ke tingkat empat. Bahu pinggang sakit. Isteri hanya mampu memandang kerana Suami tidak membenarkan Isteri mengangkat barang berat. Isteri diruntun rasa bersalah, terharu dalam masa yang sama. Kesungguhan seorang suami yang sebolehnya tidak mahu Isteri terbeban.

Mesin basuh dibaiki, hanya sempat digunakan beberapa kali. Rosak kembali. Itulah barang kalau sudah lama, mujur percuma.

Musim sejuk yang menggigit tulang, baju dipakai berlapis-lapis. Bukan baju nipis yang berlapis, tetapi jacket tebal berlapis-lapis untuk melindungi kulit dari kesejukan. Urusan mencuci baju, menyidai baju memang suami tawarkan diri untuk membuatnya. Setiap hari jumaat Suami mencuci baju kerana hanya pada hari jumaat air akan mengisi tangki rumah. Disebabkan pengering mesin basuh rosak, Si Suami memerah baju dengan tangan. Memerah baju-baju tebal dengan suhu yang menggigit tulang. Tangan suami kebiru-biruan kesejukan. Sejuknya sampai ke tulang. Pengorbanan Si Suami. Isteri menawarkan diri untuk membantu, tidak diizinnya. Allah. Isteri memandang lagi. Menyaksikan pengorbanan Suami yang tidak mampu untuk dibalasnya. Isteri beruntung mempunyai suami yang sangat membantu urusan rumah. Memasak, menyuci, membasuh tandas. Isteri fokus belajar sambil membantu sedikit dengan menjahit dan memasak untuk berniaga.

Begitulah Suami. Berkorban untuk Isteri, jika dihitung satu persatu tidak terbilang jumlahnya. Pengorbanannya kerana cinta buat Isteri. Cintanya tidak selalu diucap dengan kata-kata, tapi setiap masa terluah dengan tindakan. Setiap perbuatannya, tindakkanya adalah kata-kata cinta buat Isteri sebenarnya. I Love You itu bukan di bibir tetapi pada kudrat yang memerah keringat untuk terus berkorban dan mencintai tanpa syarat.


Friday, November 3, 2017

Pengalaman Bersalin di Rumah

Planned Undisturbed Birth

Bismillah. Alhamdulillah, baru je habis tempoh berpantang. Alhamdulillah selamat melahirkan seorang mujahid sulung dirumah secara dirancang dan hanya ditemani suami 40 hari lepas tanpa pernah join kelas beranak, saya buat self-study tentang beranak dan tak pernah disuruh untuk homebirth. Semua ini atas pilihan sendiri. Terima kasih buat Hayati Muzaffar kerana selalu share tips-tips gentle birth, pengalaman bersalin. Mungkin akak doula tak kenal saya, saya silent reader wall akak. Terima kasih juga buat akak-akak pro choice, positive family yang selalu kongsi pelbagai ilmu berguna, pemakanan, breastfeeding, gaya hidup, nak tag sorang-sorang ramai sangat. Ilmu yang kalian curahkan sangat berguna untuk diri ini.

Alhamdulillah saya melahirkan bayi sulung saya dengan koyakan second degree tear 3 lapis jahitan kata nurse. Kata nurse sama je macam gunting, jika bersalin di hospital, saya akan digunting sebab anak pertama. Pada mulanya saya rasa down, rasa sedih sampai terlupa natural tear jauh lebih baik dari episiotomy, akan lebih cepat sembuh, kurang risiko jangkitan, kurang risiko koyakan besar dan boleh jadi koyakan saya tidaklah sebesar guntingan sebab yang mengelaskan degree koyakan tu adalah tempat koyakan. Nak tanya lebih-lebih nurse, awal-awal dah jatuhkan semangat, layanan pun kasar. Apa pun semulajadi lebih baik dari ciptaan. Terlupa saya telah lalui proses kelahiran yang sangat seronok, kelahiran semulajadi secara fitrah, kelahiran dengan oxytocin bukan dengan Pitocin, ditemani dan diurut suami sepanjang melayan contraction, bila lapar haus dapat makan minum, dapat posisi yang saya nak, tak ada tukang ugut semasa meneran, tak ada mesin ctg yang merimaskan diperut, tak ada orang suruh kepit bila rasa nak meneran, tak ada vaginal examination, tak pecahkan ketuban, dapat DCC dengan tenang. Tak apalah koyak sikit, saya meneran pun sebab ikut kata hati. Haha. Tiada siapa paksa, tenang je. Terlupa tips relax jaw, open mouth semasa meneran. Pada mulanya ingat nak gentle birth di hospital swasta, suami pun cakap nanti nak kumpul duit untuk beranak swasta. Bila fikir-fikir balik, untuk apa saya bayar mahal-mahal tapi belum tentu dapat apa yang saya nak. Kami bukan orang berduit sangat.  Kebanyakan hospital swasta di Malaysia tak terima posisi mesra graviti. Jadi saya ambil keputusan untuk beranak dirumah, suami sambut. Suami pun support, masing-masing educate diri pasal gentle birth. Setiap hari saya cari ilmu, saya share dengan suami. Kami sama-sama bercerita tentang gentle birth.

Lepas ni kena join kelas, nak lebih ilmu untuk anak seterusnya pula. Target intact perineum dan waterbirth pula, insyaAllah. Sebelum ni tak join kelas sebab tak mampu, tapi sebab nak juga gentle birth saya cari ilmu. Setiap hari buka wall akak-akak doula. Cari website-website orang putih yang cerita pasal gentle birth, exercise, tips, risiko dan baca pengalaman orang bersalin gentle birth. Saya sangat elakkan baca cerita birth trauma semasa hujung kehamilan sebab nak elak fikiran negatif. Jaga pemakanan dari awal kehamilan, boleh kata dari ttc jaga pemakanan sebab sebelum ni ada pcos, lepas keguguran doctor kata tak ada dah. Banyakkan makan sumber vitamin dan folate dari real food. Langsung tak makan obimin, asid folic atau apa-apa pil vitamin. Alhamdulillah hb paling rendah sepanjang mengandung 11.8 lepas tu naik balik 12.3, paling tinggi awal kehamilan 14.1. bengkak-bengkak kaki pun tak ada sampai doktor berkali-kali picit kaki macam tak puas hati. Haha. Elakkan gula putih, msg.  Green juice saya mula lepas 36minggu sebab baru baca di wall kak Jannah pasal tu. Amalkan vco, minyak zaitun, gum Arabic, kurma setiap hari. Suami selalu tegur bila saya makan makanan manis dan bertepung supaya berpada-pada. Terima kasih abang.

26.8.2017, turun darah tanda bersalin. Saya bagitahu suami, kami seronok sangat masa tu, tak sabar nak praktik ilmu yang kami cari, tak sabar nak jumpa baby. Belum rasa contraction lagi, jalan-jalan dulu dengan suami nak buka jalan. Malam tu baru ada contraction, tak berapa kuat tapi mengganggu juga tidur. Ingatkan baby nak keluar pagi esok.

27.8.2017, contraction datang agak kuat 8 minit sekali. Ingatkan nak beranak dah, tak pernah beranak sebelum ni mana tahu. 8 minit, kadang-kadang 10 minit. Memang tak boleh lena tidur. Nak rehat tak boleh. Kalau tidur, setiap 8 minit terjaga. Hari ini duduk rumah je sebab takut terberanak. Seharian melayan contraction macam-macam posisi, suami urutkan pinggang, belakang. Selalu cakap pada suami, nak oxytocin. Haha. Suami tenangkan, bagi keselesaan untuk isteri dia. Ambilkan air, makanan. Sediakan kurma. Nikmati kesakitan dengan tenang berdua dengan suami sahaja. Kalau ke hospital, mana nak dapat macamni, masuk wad duduk jelah atas katil tu. Bukan suami boleh teman sepanjang masa.

28.8.2017, masih sama contractionnya. 8 minit sekali dan agak sakit. Mula stress sebab baby tak keluar-keluar. Sangat penat sebab tak cukup tidur. Dah dua hari lebih sakit. Suami pun tak cukup tidur sebab bila tak tahan sangat sakit, saya kejut suami minta suami urut. Saya mula stress sebab hari ni suami ambil cuti untuk tunggu baby lahir, tapi tak juga lahir, saya takut untuk layan contraction sorang-sorang kalau esok suami pergi kerja. Nangis, suami pujuk tenangkan. Suami kata takpe, ambil cuti terus. Lagi dua hari je kerja. 31.8 cuti merdeka, 1.9 cuti aidiladha. Barulah tenang hati saya. Sambil-sambil melayan contraction yang menyakitkan, saya cari pasal long labor, apa nak buat. Pujuk baby cakap dengan baby minta baby keluar. Rasa lapar, makan, rasa haus minum. Cuba untuk rehat supaya ada tenaga. Suami belikan air kelapa, bekalkan electrolyte. Layan je rasa sakit tu. Tukar posisi, berjalan solat macam biasa. Rasa bosan dirumah sepanjang hari, mood gembira tu hilang. Saya bagitahu suami, nak keluar jalan-jalan sebab baca forum orang putih kata lama lagi nak bersalin kalau macamtu gayanya. Malam tu suami bawa pergi pasar malam. Seronok sangat rasa, dapat oxytocin. Setiap kali contraction datang, berhenti kejap Tarik nafas, lepas tu teruskan perjalanan. Bila berjalan memang terasa kurang sakit contraction. Atas motosikal pun layan je contraction. Tarik nafas hembus. Malam tu cakap pada suami, kalau esok tak keluar juga, jom jalan-jalan mall. Terkejut suami.

29.8.2017, waktu subuh layan contraction macam biasa. Dah mula kerap. Pukul 9 pagi sakit datang 3, 2, 1 minit skali. Sakit lama pula tu. Sakit yang sangat sakit. Tak tertahan rasanya. Layan sakit dengan posisi all four sambil suami urut-urut. Sesekali tukar posisi squat nak cepatkan bukaan, tak boleh lama squat, kaki penat. Nak bergerak pun sakit sangat-sangat, tapi saya rasa selesa sebab rumah sendiri kan. Nak ke tandas, nak makan ke minum ke tak ada masalah. Dalam pukul 10.45 pagi terasa urge tu push. Hilang sakit contraction yang tak tertahan tu. Saya masih tahan untuk meneran, cuba breath out baby. Teringat tips, kalau tak boleh tahan baru meneran. Terlupa relax jaw open mouth. Haha. Tulah pentingnya pergi kelas. Saya kawal pernafasan dalam masa sama meneran juga. Masa ni tak tahu adakah di penghujung, adakah baby akan keluar. Dengan penat 3 hari contraction yang sakit. Saya betul-betul tak sabar untuk keluarkan baby. Jadi saya meneran sambil kawal pernafasan. Bagi baby oxygen. Suami berkali-kali pesan, kawal pernafasan, tenang sambil urut belakang dan pinggang saya. Gatal teran sangat, kang dah koyak. Lepas keluar kepala baby, badan meluncur keluar. Terasa baby bergerak turun dari perut keluar. Saya beranak posisi all four. Tepat pukul 12 tengahari Baby organik kami lahir, alhamdulillah tepat 40 minggu lahir. Dengan masih basah ketuban lagi, suami azankan baby kami. Tak sedar, saya menangis terharu melihat putera sulung kami lahir. Alhamdulillah kami berjaya gentle homebirth dengan ilmu. “Eh abang, baby laki la”, saya bagitahu suami. Kami baru tahu jantina baby setelah dia lahir. Selepas azan, saya bonding dengan baby dengan uri yang belum keluar. Suami tahnikkan baby. Sesekali cuba meneran uri sambil berbaring. Alamak, susahnya, macamanalah nak teran baby sambil berbaring. Saya squat, dengan sekali teran secara lembut jatuh uri kebawah. Sambung bonding dan susukan baby sambil DCC. Alhamdulillah dapat DCC 6jam untuk baby kami.

Alhamdulillah, kelahiran yang saya rasa sangat menyeronokkan. Darah keluar tak banyak lepas melahirkan. Saya rasa bertenaga. Ke tandas, mandi bersihkan diri. Boleh berjalan turun tangga pergi ke kereta tanpa rasa sakit. Petang tu saya ke hospital untuk potong uri dan jahit koyakkan. Layanan yang saya dapat sangat mengganggu emosi dan fizikal saya.Tak apalah jahit sikit, nanti pergi kelas menuntut ilmu lebih lagi insyaAllah. Baby pun mudah diurus semasa pantang, tak banyak ragam. Semasa pantang hari ke 30 kami serumah diuji dengan selsema batuk yang teruk, ibu mertua saya demam. Berjangkit dari seorang ke seorang, tapi Alhamdulillah baby organik kami sihat wal afiat.
Tapi betullah kata akak-akak doula, bila dah dapat gentle birth memang rasa ketagih nak bersalin. Dalam pantang duk fikir, sempat ke kalau nak bersalin lagi tahun depan. Haha. Seronok sangat lalui proses bersalin, itu yang sakit, ada koyak, long labor pula tu. Kalau yang bersalin tak rasa sakit macamanalah rasa dia. Lepas ni bersalin memang azam sungguh nak usaha dapat intact perineum, tak mahu jahit. InsyaAllah. Sakit betul kena jahit.
Kenapa pilih untuk bersalin di rumah?

Sebab saya harapkan gentle birth dengan posisi mesra graviti ditemani suami tanpa gangguan orang luar dan dadah-dadah penahan sakit, nak rasa beranak secara fitrah, ikut kata hati bukan kata doctor atau nurse dan nak Delay Cord Clamping untuk anak saya. Rasa gerun mendengar cerita-cerita trauma orang bersalin di hospital dengan kesilapan staf hospital secara sengaja atau tidak sengaja.
Kak Jannah selalu pesan, tawakkal pada Allah, tapi ramai orang tawakkal pada doctor. Sampai masa, serah diri. Serah tadah pasrah. Biarlah apa yang doctor nak buat pada diri kita sebab doctor lebih tahu katanya. Nak induce ke, nak caeser ke, biarlah asalkan selamat. Badan kita, kitalah patut lebih tahu tahap kesihatan kita, kita yang menjaga. Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita, tawakkal dan usaha cari ilmu. Kalau ikutkan saya sepatutnya kena serah diri lebih awal, tapi saya tahu tahap kesihatan saya. Saya tak mahu paksa kalau baby belum sedia keluar.

Bukan mudah nak gentle birth, nak kena tahan nafsu makan, nak kena ambil tahu sayur buah apa lagi nak makan sebab nak bagi cukup vitamin dan folate untuk baby. Tahan diri dari ambil gula, tepung dan makan ringan. Kena bersenam dan aktif jangan malas. Kena tahu kenapa baby boleh berak dalam perut, kenapa baby boleh lemas, bagaimana nak atasi semua tu. Semua kena cari, kalau masuk kelas senang, cikgu-cikgu ajar. Semuanya kena buat sebab tak mahu serah tadah pasrah. Orang lain tak perlu jaga kalau nak serah tadah pasrah, cukuplah makan vitamin yang KK bagi, bermalas-malasan. Makan banyak-banyak masa mengandung, makan sedap-sedap sebab masa pantang 40 hari tak boleh makan sedap. Sebenarnya banyak makanan sedap dan sihat, Cuma kita nak ke tak nak.

Akhir kata, jangan tiru aksi ini kalau belum menuntut ilmu. Tuntut ilmu, belajar jangan mudah ditipu. Semua orang boleh merasai kelahiran secara fitrah, tak perlu beranak dirumah. Dimana-mana kita boleh gentle birth, hanya tinggal untuk menuntut ilmu dan mempraktikkan sahaja. Jom sama-sama gentlebirth. 

Catatan Isteri

Sepasang suami isteri muda menikmati kehidupan berumah tangga. Rumahnya kecil, tidak beruang tamu. Isterinya selalu khuatir jika ada tetamu yang ingin bertandang. Sesekali bilik menjahit dijadikan ruang menerima tetamu. Mereka bahagia bersama. Makanan yang ada, sedikit atau banyak dikongsi bersama. Tidak sesekali salah seorang daripada mereka makan sendiri, pasti akan disimpan dan dibawa pulang untuk dinikmati bersama. Ada hari-hari yang cuma berlaukkan telur, tapi tidak pernah satu hari pun mereka tidak makan. Rezeki Allah untuk mereka tidak pernah putus. Biarpun mereka serba kekurangan, pasti ada pertolongan Allah untuk mereka.

Petang itu, Pekan Mutah bising dengan hon-hon kenderaan, seperti hari-hari sebelumnya dan tahun-tahun sebelumnya. Pekan Mutah tidak pernah sunyi kecuali sudah larut malam. Si Isteri pulang dari kelas pengajiannya. Suaminya menyambut dengan senyuman dan masakan yang sungguh enak. Apa lagi yang Isterinya inginkan? Cukuplah kebahagiaan di dalam rumah tangga yang sederhana. Isteri tidak berharap untuk menikmati kemewahan harta benda.

Petang itu, mereka yang kelaparan menikmati masakan yang di masak suami. Mereka makan dalam talam bersama-sama. Sesekali suap-menyuap. Tersenyum Isteri. Bahagianya rumah tangga ini. 

Mereka cuma berdua. Belum memiliki cahaya mata. Biarpun begitu, mereka menikmati saat indah bersama.

Kucing-kucing dirumah menghiasi tawa mereka. 14 ekor kucing yang silih berganti memberikan rasa bahagia. Pasangan suami isteri ini sering keluar berjalan-jalan diwaktu petang. Kadang-kadang mereka mengutip kucing-kucing kelaparan untuk dibela. Kasihan. Pasti mereka kesejukan yang teramat sangat pada musim sejuk.

Untuk makan sehari-hari, mereka berniaga. Suami berniaga makanan, isteri mengambil upah menjahit baju. Pada waktu malam, Suami menyiapkan bahan-bahan untuk berniaga keesokkan paginya. Berniaga popia, chicken wrap. Paginya, suami bangun awal pagi untuk menyiapkan dan membungkus makanan jualan. Isteri pergi ke kelas dengan membawa makanan tersebut. Ditinggalkan di surau Kuliah Syariah. Jualan mereka laku, habis. Mereka suami isteri bersyukur. Alhamdulillah. Ada hari tidak habis, banyak saingan. Isteri bawa pulang, jadi makanan tengahari mereka hari itu. Alhamdulillah rezeki juga. Sebelum pulang ke rumah, isteri membeli bahan-bahan mentah untuk berniaga lagi keesokan harinya. Roti Syirak bahan utama jualan mereka. Kadang-kadang habis, isteri terpaksa pergi ke kedai lain. Satu demi satu kedai dia pergi dengan berjalan kaki. Tidak pulang selagi belum dapat roti. Suami selalu pesan, kalau banyak sangat, berat jangan angkat. Berbelas-belas keping roti syirak perlu dibeli. Ayam sudah diperap suami dirumah. Begitulah mereka, bekerjasama untuk mencari sesuap nasi.

Hujung minggunya berniaga chicken chop. Kebanyakan kerja suami yang buat. Isteri hanya membuang tulang ayam, kupas potong kentang dan membuat kuah. Suami memerap ayam, menggoreng kentang, membuat mashpotato, menggoreng ayam. Kerja-kerja mereka sangat penat. Sekejap sahaja mereka dapat melelapkan mata. Keesokkan harinya, kerja menggoreng dan membungkus. Selesai membungkus, mereka perlu menghantar dari rumah ke rumah. Pekan Mutah dari hujung ke hujung mereka berjalan dengan membawa 20 bungkus chicken chop. Keduapuluh-dua puluh chicken chop semuanya Si Suami yang bawa. Isteri hanya meneman dan mengetuk rumah akhawat (gelaran untuk pelajar perempuan). Suami tidak mengizinkan isteri membawa barang berat, dari awal pernikahan mereka. Untuk kesihatan Isteri katanya. Isterinya sebelum bernikah selalu mengangkat berat, beras 10kg, tong gas semua dipikul sendiri. Setelah bernikah, dia tidak akan merasainya lagi, istimewanya dia isteri kepada Si Suami. Tiada penghargaan yang dapat dia hadiahkan kepada Suami melainkan berusaha menjadi isteri solehah, menjadi bidadari dunia dan akhirat buat suami.

Pulangnya mereka daripada menghantar pesanan chicken chop bersama duit dan kepenatan yang amat sangat. Kepenatan bersama kepuasan. Rehat mereka hari itu dengan rasa bahagia. Sepanjang masa bersama, sedikitpun tidak ada rasa bosan dan jemu, bahkan semakin hari makin terisi dengan rasa cinta.

Ada waktu-waktu kosong, isteri menjahit. Pelanggan tidak putus-putus menghantar tempahan. Macam-macam permintaan. Isteri yang belum pernah belajar menjahit turutkan sahaja. Jadikan itu sebagai cabaran untuk belajar sendiri ilmu jahitan. Bilik menjahit penuh dengan plastik pakaian pelanggan. Sesekali, Si Suami 'mengganggu' Si Isteri menjahit. Isteri suka begitu, 'ganggu' yang menemani, tapi Suami tidak suka. Katanya Isteri terlalu fokus dengan jahitan, tidak boleh layan Suami bercakap. Ya, memang. Apa yang Suami ceritakan pun masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas menjahit, Isteri minta Suami ceritakan kembali. Geramlah Si Suami. Si Isteri hanya ketawa menceria suasana.

Ramai yang memerhatikan mereka. Kata mereka sweet sangat, asyik berdua je. Betul seronok berumahtangga. Cabaran-cabarannya juga ada, mereka tempuh dengan rasa cinta. Se sweet mana pun, jika belum mempunyai anak tetap terasa belum lengkap. Setiap purnama si isteri menitiskan air mata menantikan keputusan positif yang tak kunjung tiba. Mereka selalu berdoa agar cepat dikurniakan cahaya mata.

Pekan Mutah menjadi saksi kisah cinta mereka. Suka, duka kesusahan yang mereka lalui bersama. Catatan Isteri ini agar sama-sama tidak lupa kenangan indah yang tidak akan mungkin berulang lagi. Kesusahan itu yang menghadirkan rasa cinta buat kali pertama, berharap kesenangan akan datang tidak menghapusnya. Biarpun kini suasananya berbeza, suasana hati tetap sama. Dihuni rasa cinta yang tiada penghujungnya.

Cinta. Bahagia. Dua benda yang berbeza. Cinta tak semestinya bahagia, bahagia tak semestinya cinta. Tapi di dalam rumah tangga Si Suami dan Si Isteri ini punyai keduanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...