klik!

Friday, November 3, 2017

Catatan Isteri

Sepasang suami isteri muda menikmati kehidupan berumah tangga. Rumahnya kecil, tidak beruang tamu. Isterinya selalu khuatir jika ada tetamu yang ingin bertandang. Sesekali bilik menjahit dijadikan ruang menerima tetamu. Mereka bahagia bersama. Makanan yang ada, sedikit atau banyak dikongsi bersama. Tidak sesekali salah seorang daripada mereka makan sendiri, pasti akan disimpan dan dibawa pulang untuk dinikmati bersama. Ada hari-hari yang cuma berlaukkan telur, tapi tidak pernah satu hari pun mereka tidak makan. Rezeki Allah untuk mereka tidak pernah putus. Biarpun mereka serba kekurangan, pasti ada pertolongan Allah untuk mereka.

Petang itu, Pekan Mutah bising dengan hon-hon kenderaan, seperti hari-hari sebelumnya dan tahun-tahun sebelumnya. Pekan Mutah tidak pernah sunyi kecuali sudah larut malam. Si Isteri pulang dari kelas pengajiannya. Suaminya menyambut dengan senyuman dan masakan yang sungguh enak. Apa lagi yang Isterinya inginkan? Cukuplah kebahagiaan di dalam rumah tangga yang sederhana. Isteri tidak berharap untuk menikmati kemewahan harta benda.

Petang itu, mereka yang kelaparan menikmati masakan yang di masak suami. Mereka makan dalam talam bersama-sama. Sesekali suap-menyuap. Tersenyum Isteri. Bahagianya rumah tangga ini. 

Mereka cuma berdua. Belum memiliki cahaya mata. Biarpun begitu, mereka menikmati saat indah bersama.

Kucing-kucing dirumah menghiasi tawa mereka. 14 ekor kucing yang silih berganti memberikan rasa bahagia. Pasangan suami isteri ini sering keluar berjalan-jalan diwaktu petang. Kadang-kadang mereka mengutip kucing-kucing kelaparan untuk dibela. Kasihan. Pasti mereka kesejukan yang teramat sangat pada musim sejuk.

Untuk makan sehari-hari, mereka berniaga. Suami berniaga makanan, isteri mengambil upah menjahit baju. Pada waktu malam, Suami menyiapkan bahan-bahan untuk berniaga keesokkan paginya. Berniaga popia, chicken wrap. Paginya, suami bangun awal pagi untuk menyiapkan dan membungkus makanan jualan. Isteri pergi ke kelas dengan membawa makanan tersebut. Ditinggalkan di surau Kuliah Syariah. Jualan mereka laku, habis. Mereka suami isteri bersyukur. Alhamdulillah. Ada hari tidak habis, banyak saingan. Isteri bawa pulang, jadi makanan tengahari mereka hari itu. Alhamdulillah rezeki juga. Sebelum pulang ke rumah, isteri membeli bahan-bahan mentah untuk berniaga lagi keesokan harinya. Roti Syirak bahan utama jualan mereka. Kadang-kadang habis, isteri terpaksa pergi ke kedai lain. Satu demi satu kedai dia pergi dengan berjalan kaki. Tidak pulang selagi belum dapat roti. Suami selalu pesan, kalau banyak sangat, berat jangan angkat. Berbelas-belas keping roti syirak perlu dibeli. Ayam sudah diperap suami dirumah. Begitulah mereka, bekerjasama untuk mencari sesuap nasi.

Hujung minggunya berniaga chicken chop. Kebanyakan kerja suami yang buat. Isteri hanya membuang tulang ayam, kupas potong kentang dan membuat kuah. Suami memerap ayam, menggoreng kentang, membuat mashpotato, menggoreng ayam. Kerja-kerja mereka sangat penat. Sekejap sahaja mereka dapat melelapkan mata. Keesokkan harinya, kerja menggoreng dan membungkus. Selesai membungkus, mereka perlu menghantar dari rumah ke rumah. Pekan Mutah dari hujung ke hujung mereka berjalan dengan membawa 20 bungkus chicken chop. Keduapuluh-dua puluh chicken chop semuanya Si Suami yang bawa. Isteri hanya meneman dan mengetuk rumah akhawat (gelaran untuk pelajar perempuan). Suami tidak mengizinkan isteri membawa barang berat, dari awal pernikahan mereka. Untuk kesihatan Isteri katanya. Isterinya sebelum bernikah selalu mengangkat berat, beras 10kg, tong gas semua dipikul sendiri. Setelah bernikah, dia tidak akan merasainya lagi, istimewanya dia isteri kepada Si Suami. Tiada penghargaan yang dapat dia hadiahkan kepada Suami melainkan berusaha menjadi isteri solehah, menjadi bidadari dunia dan akhirat buat suami.

Pulangnya mereka daripada menghantar pesanan chicken chop bersama duit dan kepenatan yang amat sangat. Kepenatan bersama kepuasan. Rehat mereka hari itu dengan rasa bahagia. Sepanjang masa bersama, sedikitpun tidak ada rasa bosan dan jemu, bahkan semakin hari makin terisi dengan rasa cinta.

Ada waktu-waktu kosong, isteri menjahit. Pelanggan tidak putus-putus menghantar tempahan. Macam-macam permintaan. Isteri yang belum pernah belajar menjahit turutkan sahaja. Jadikan itu sebagai cabaran untuk belajar sendiri ilmu jahitan. Bilik menjahit penuh dengan plastik pakaian pelanggan. Sesekali, Si Suami 'mengganggu' Si Isteri menjahit. Isteri suka begitu, 'ganggu' yang menemani, tapi Suami tidak suka. Katanya Isteri terlalu fokus dengan jahitan, tidak boleh layan Suami bercakap. Ya, memang. Apa yang Suami ceritakan pun masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas menjahit, Isteri minta Suami ceritakan kembali. Geramlah Si Suami. Si Isteri hanya ketawa menceria suasana.

Ramai yang memerhatikan mereka. Kata mereka sweet sangat, asyik berdua je. Betul seronok berumahtangga. Cabaran-cabarannya juga ada, mereka tempuh dengan rasa cinta. Se sweet mana pun, jika belum mempunyai anak tetap terasa belum lengkap. Setiap purnama si isteri menitiskan air mata menantikan keputusan positif yang tak kunjung tiba. Mereka selalu berdoa agar cepat dikurniakan cahaya mata.

Pekan Mutah menjadi saksi kisah cinta mereka. Suka, duka kesusahan yang mereka lalui bersama. Catatan Isteri ini agar sama-sama tidak lupa kenangan indah yang tidak akan mungkin berulang lagi. Kesusahan itu yang menghadirkan rasa cinta buat kali pertama, berharap kesenangan akan datang tidak menghapusnya. Biarpun kini suasananya berbeza, suasana hati tetap sama. Dihuni rasa cinta yang tiada penghujungnya.

Cinta. Bahagia. Dua benda yang berbeza. Cinta tak semestinya bahagia, bahagia tak semestinya cinta. Tapi di dalam rumah tangga Si Suami dan Si Isteri ini punyai keduanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...