klik!

Saturday, November 25, 2017

Catatan Isteri 2

Sebelum rumah kecil itu dihuni mereka, banyak rumah transit yang menjadi persinggahan mereka. Si Suami terbang dari Mesir ke Jordan demi menemani isteri tercinta di Jordan. Besar pengorbanan seorang suami, meninggalkan urusan menuntut ilmu yang sampai sekarang belum selesai. Azam mereka, nanti akan menjadi penuntut Al-Azhar bersama-sama. Sama-sama menjadi Faqih dan menjadi permata di dalam agama. Si Isteri tidak mampu membalas pengorbanan ini, rasa bersalah kerana menyusahkan Suami. Janji isteri menjadi teman setia sepanjang perjalanan hidup Suami yang penuh cabaran.

Pada awal-awal mereka menghuni rumah kecil itu, banyak wang yang mereka perlukan untuk membeli perkakas dapur. Perabot tidak usah diceritakan. Itu bukan keutamaan. Cukuplah dapur, mesin basuh manual dan tilam sebagai alas mereka tidur. Beberapa periuk kuali pinggan mangkuk digunakan untuk memasak. Mesin basuh diberikan percuma oleh sahabat kerana rosak bahagian pengering. Rezeki mereka. Kalau dibeli secondhand harga boleh mencecah 50 Jordan Dinar bersamaan 250 Ringgit Malaysia mengikut tukaran wang pada waktu itu.  Kos untuk membaiki bahagian pengering mesin basuh lebih kurang 100 Ringgit Malaysia. Mereka boleh berjimat.

Masih segar di dingatan Isteri, Suami bersendirian mengangkat mesin basuh yang entah berapa belas kilogram naik ke tingkat empat. Bahu pinggang sakit. Isteri hanya mampu memandang kerana Suami tidak membenarkan Isteri mengangkat barang berat. Isteri diruntun rasa bersalah, terharu dalam masa yang sama. Kesungguhan seorang suami yang sebolehnya tidak mahu Isteri terbeban.

Mesin basuh dibaiki, hanya sempat digunakan beberapa kali. Rosak kembali. Itulah barang kalau sudah lama, mujur percuma.

Musim sejuk yang menggigit tulang, baju dipakai berlapis-lapis. Bukan baju nipis yang berlapis, tetapi jacket tebal berlapis-lapis untuk melindungi kulit dari kesejukan. Urusan mencuci baju, menyidai baju memang suami tawarkan diri untuk membuatnya. Setiap hari jumaat Suami mencuci baju kerana hanya pada hari jumaat air akan mengisi tangki rumah. Disebabkan pengering mesin basuh rosak, Si Suami memerah baju dengan tangan. Memerah baju-baju tebal dengan suhu yang menggigit tulang. Tangan suami kebiru-biruan kesejukan. Sejuknya sampai ke tulang. Pengorbanan Si Suami. Isteri menawarkan diri untuk membantu, tidak diizinnya. Allah. Isteri memandang lagi. Menyaksikan pengorbanan Suami yang tidak mampu untuk dibalasnya. Isteri beruntung mempunyai suami yang sangat membantu urusan rumah. Memasak, menyuci, membasuh tandas. Isteri fokus belajar sambil membantu sedikit dengan menjahit dan memasak untuk berniaga.

Begitulah Suami. Berkorban untuk Isteri, jika dihitung satu persatu tidak terbilang jumlahnya. Pengorbanannya kerana cinta buat Isteri. Cintanya tidak selalu diucap dengan kata-kata, tapi setiap masa terluah dengan tindakan. Setiap perbuatannya, tindakkanya adalah kata-kata cinta buat Isteri sebenarnya. I Love You itu bukan di bibir tetapi pada kudrat yang memerah keringat untuk terus berkorban dan mencintai tanpa syarat.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...